14 January 2021

Bagaimana Mengikuti Kursus Percuma Bersijil Sewaktu Pandemik

 


Umum mengetahui, kesan daripada pandemik Covid-19 ini banyak acara dan kursus yang biasa dijalankan secara bersemuka ditangguhkan atau dibatalkan. Antara yang terkesan dengan keadaan ini ialah para pelajar, graduan dan pencari kerja kerana tidak dapat menghadiri kursus atau acara bagi tambah nilai kepada kompetensi sedia ada. 

Tahukah anda, sebenarnya ada cara untuk anda menghadiri kursus dan memperolehi kemahiran dan pengetahuan. 

Caranya, dengan menyertai seminar dalam talian atau webinar dalam talian yang dianjurkan. Dengan capaian maklumat di hujung jari, anda tidak perlu risau sebenarnya. Dengan menggunakan enjin carian Google anda boleh memasukkan kata kunci 'seminar percuma', 'webinar percuma' dan pelbagai kata kunci yang boleh digunakan. Ada seminar dalam talian dan webinar yang percuma, ada juga yang mengambil bayaran yuran pendaftaran. Jika tanya saya, saya lebih suka mengikuti yang percuma.

Selain itu, manfaatkan fungsi carian di laman-laman sosial yang anda miliki. Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain mempunyai menu 'search' yang boleh digunakan seperti enjin carian internet. Masukkan kata kunci 'webinar', 'seminar dalam talian' dan lain-lain. Hasilnya, akan muncul pelbagai program dan acara webinar yang dijalankan dalam talian. Ada juga webinar yang menggunakan platform FB Live, Youtube dan lain-lain.

Seterusnya, anda perlu melihat sama ada webinar yang anda pilih itu memerlukan anda mendaftar ataupun tidak. Bagi webinar yang memerlukan pendaftaran peserta, link Google Form akan disertakan bersama iklan atau poster webinar. Ada juga pendaftaran yang dijalankan melalui aplikasi Whatsapp dll.

Pastikan anda menulis maklumat webinar yang akan diikuti agar anda tidak terlupa mahupun terlepas pandang. Anda juga perlu menyemak semula maklumat webinar tersebut sehari sebelum mengikutinya, mana tahu ia ditunda ataupun ada perubahan masa. 

Akhir sekali, yang paling penting pastikan anda dapat sijil penyertaan setelah mengikuti webinar tersebut. Lazimnya sijil tersebut dalam bentuk e-sijil dan penganjur akan emelkan kepada emel yang anda berikan sewaktu pendaftaran. Jadi, penting untuk anda berikan emel yang betul ya. Sekiranya e-sijil tidak diterima selepas 2 minggu, anda perlu hubungi semula penganjur. Cetak e-sijil yang diterima dan simpan kemas di folder sijil untuk memudahkan anda kelak.

Selamat maju jaya!