14 January 2021

Bagaimana Mengikuti Kursus Percuma Bersijil Sewaktu Pandemik

 


Umum mengetahui, kesan daripada pandemik Covid-19 ini banyak acara dan kursus yang biasa dijalankan secara bersemuka ditangguhkan atau dibatalkan. Antara yang terkesan dengan keadaan ini ialah para pelajar, graduan dan pencari kerja kerana tidak dapat menghadiri kursus atau acara bagi tambah nilai kepada kompetensi sedia ada. 

Tahukah anda, sebenarnya ada cara untuk anda menghadiri kursus dan memperolehi kemahiran dan pengetahuan. 

Caranya, dengan menyertai seminar dalam talian atau webinar dalam talian yang dianjurkan. Dengan capaian maklumat di hujung jari, anda tidak perlu risau sebenarnya. Dengan menggunakan enjin carian Google anda boleh memasukkan kata kunci 'seminar percuma', 'webinar percuma' dan pelbagai kata kunci yang boleh digunakan. Ada seminar dalam talian dan webinar yang percuma, ada juga yang mengambil bayaran yuran pendaftaran. Jika tanya saya, saya lebih suka mengikuti yang percuma.

Selain itu, manfaatkan fungsi carian di laman-laman sosial yang anda miliki. Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain mempunyai menu 'search' yang boleh digunakan seperti enjin carian internet. Masukkan kata kunci 'webinar', 'seminar dalam talian' dan lain-lain. Hasilnya, akan muncul pelbagai program dan acara webinar yang dijalankan dalam talian. Ada juga webinar yang menggunakan platform FB Live, Youtube dan lain-lain.

Seterusnya, anda perlu melihat sama ada webinar yang anda pilih itu memerlukan anda mendaftar ataupun tidak. Bagi webinar yang memerlukan pendaftaran peserta, link Google Form akan disertakan bersama iklan atau poster webinar. Ada juga pendaftaran yang dijalankan melalui aplikasi Whatsapp dll.

Pastikan anda menulis maklumat webinar yang akan diikuti agar anda tidak terlupa mahupun terlepas pandang. Anda juga perlu menyemak semula maklumat webinar tersebut sehari sebelum mengikutinya, mana tahu ia ditunda ataupun ada perubahan masa. 

Akhir sekali, yang paling penting pastikan anda dapat sijil penyertaan setelah mengikuti webinar tersebut. Lazimnya sijil tersebut dalam bentuk e-sijil dan penganjur akan emelkan kepada emel yang anda berikan sewaktu pendaftaran. Jadi, penting untuk anda berikan emel yang betul ya. Sekiranya e-sijil tidak diterima selepas 2 minggu, anda perlu hubungi semula penganjur. Cetak e-sijil yang diterima dan simpan kemas di folder sijil untuk memudahkan anda kelak.

Selamat maju jaya!

02 January 2021

Azam Tidak Semestinya Pada Tahun Baru

 


Salam dan hai semua. Lama tak menulis di sini. Nasib baik blog ini masih boleh diakses. Bersawang jugalah dan perlukan sedikit 'housekeeping'. Biasa dengar kan, setiap tahun baru masihi antara perkara yang ditanya atau dikongsikan ramai orang ialah azam. Sebenarnya, selain awal tahun masihi, kita boleh review azam tu pada masa yang lain. 

Pertama, pada tahun Hijrah. Tahun 2021 ini tahun Hijrahnya ialah 1442. Kita boleh gunakan masa tahun baru Hijrah nanti untuk review dan melihat semula hasil ataupun pencapaian azam mahupun perancangan yang telah dibuat pada awal tahun 2021.

Kedua, sewaktu perayaan. Uniknya di Malaysia ini dalam setahun ada pelbagai perayaan yang disambut. ini disebabkan faktor masyarakat kita yang berbilang kaum atau disebut masyarakat majmuk. ada perayaan keagamaan, ada perayaan tahun baru mengikut kepercayaan masing-masing dan perayaan khas seperti Hari Keputeraan YDPA ataupun DYMM Sultan. Bagi orang bisnes, tarikh perayaan-perayaan atau sambutan ini boleh dijadikan tarikh untuk review atau melihat semula perjalanan bisnes.

Ketiga, tarikh-tarikh lain seperti ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan mahupun tarikh-tarikh lain yang bersifat peribadi oleh pemilik bisnes turut boleh digunakan untuk 'melihat' azam dan 'melihat semula' azam yang telah dibuat pada awal tahun. 

Sebagai kesimpulan, azam yang lazimnya dibuat pada awal tahun baru masihi, tidak semestinya dilakukan pada waktu itu. Ia boleh dibuat pada waktu-waktu lain, diperbaharui dan dilihat semula. Selamat maju jaya, semoga murah rezeki.