19 April 2012

Kosmo! Online - Infiniti


Merawat untuk tatapan generasi hadapan



MUHAMAD FAIZ AZIZAN, 30, tekun memerhati anak buah di bawah seliaannya membersihkan sarung bilah keris yang telah mengalami proses pengoksidaan di Makmal Konservasi, Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kuala Lumpur.
Pembantu Muhamad Faiz itu menggunakan sejenis bahan pembersih yang dipanggil sebagai Silver Wax. Bahan kimia itu memastikan ukiran kerawang dapat dipelihara tanpa menjejaskan bahagian keris yang lain.
Bertugas sebagai konservator dan pakar bahagian bukan organik, Muhamad Faiz telah melakukan penyelidikan terlebih dahulu bersama-sama konservator lain bagi memastikan pilihan kaedah pemuliharaan yang tepat dapat dilakukan.
“Kami akan memilih bahan kimia yang paling lemah supaya tiada efek pada mana-mana bahagian keris,” terang Muhamad Faiz ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Keris merupakan antara artifak yang dianggap rumit untuk dilakukan kerja-kerja konservasi kerana ia terhasil daripada gabungan dua jenis bahan berbeza iaitu logam dan bukan logam.
Berbanding keris, artifak patung orang asli yang keseluruhan diperbuat daripada kayu lebih mudah kerana menggunakan teknik dan penumpuan satu bahan sahaja.
Pada artifak patung tersebut, pembantu konservator menggunakan teknik wood filler (pengisi kayu) bagi menutup lubang atau rekahan yang terhasil akibat proses pereputan.
Kaedahnya adalah dengan memasukkan campuran habuk kayu dan gam yang dikenali sebagai fish glue. Selepas kering, tampalan akan dibuat lagi jika hasilnya tidak rata dengan permukaan asal.
TUGAS konservator menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi kerana bertugas di bawah tekanan.


Tegas Muhammad Faiz, mereka akan mendapatkan habuk kayu yang sama dengan bahan asal atau sekurang-kurangnya paling hampir dan sesuai dengan artifak.
Teknik kedua pula adalah dengan melakukan suntikan bahan yang mengandungi gam polivinil asetat (PVA). PVA merupakan sejenis polimer getah sintetik yang kerap digunakan sebagai pelekat pada bahan yang mempunyai liang seperti kayu, kertas dan kain.
Bagi konservator pula, gam yang dipilih mesti tidak memberi sebarang kesan kepada artifak.
Kerja-kerja konservasi bahan logam dimulakan dengan menentukan bahan asas sama ada menggunakan satu bahan sahaja seperti tembaga atau campuran (komposit).
Bahan kimia yang digunakan untuk pembersihan pula akan dilarut dalam air supaya kesan yang terhasil tidak terlalu kasar sekali gus mengelakkan kerosakan lebih teruk ke atas artifak.
Tekstil
Di sudut lain yang dikhaskan untuk kerja-kerja konservasi tekstil, Nirmala Sharipiddin sedang meneliti artifak yang baru diterima dengan berhati-hati kerana kebanyakannya sudah mula mereput.
Terangnya, pihak konservasi tidak akan mencuci artifak sebaliknya menggunakan pembersih vakum yang bertindak menyedut segala kekotoran pada artifak tekstil.
Langkah kerja juga perlu sentiasa berwaspada. Mereka tidak menyedut secara terus, tetapi bahagian yang mahu dibersihkan terlebih dahulu dilapik sehelai kain berongga.
“Sedutan secara terus boleh menyebabkan sulaman atau jahitan boleh tertanggal sekali gus merosakkan artifak,” ujar wanita berusia 35 tahun itu.

Konservator perlu memilih gam yang tepat agar ia tidak memberi kesan buruk ke atas artifak.


Bagi tujuan penyimpanan pula, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti kertas yang menjadi pelapik malah, artifak seperti lembaran kain tidak akan dilipat.
Tuturnya, melipat kain dalam satu tempoh yang panjang boleh menyebabkan hujung kain menjadi hitam dan tekstur seperti kain songket boleh patah.
Alas tekstil menggunakan bahan paling asli seperti kain yang diperbuat 100 peratus daripada linen atau kain Tyvek. Kos penyimpanan menjadi agak mahal kerana bagi setiap 80 helai kain itu, ia berharga lebih RM100.
Kertas membalut artifak tekstil juga wajib bersifat bebas asid. Dikenali sebagai acid free paper, ia berharga RM150 untuk satu rim kertas yang mengandungi lebih kurang 500 keping.
Ketika kerja-kerja pemuliharaan dilakukan pula, kertas keras berasaskan bahan polikarbonat digunakan sebagai pelapik kerja.
Pada artifak pula terutama untuk pameran seperti hiasan kepala dan kasut perlu dibuat sokongan seperti bantal supaya bentuk asal artifak dapat dikekalkan.
Paling penting dalam kerja-kerja konservasi adalah menentukan teknik yang betul dan tepat supaya tiada kesan negatif terhadap artifak.
Ketelitian
Sebelum kerja pemuliharaan dilakukan, satu perbincangan membabitkan pakar-pakar dalam bidang masing-masing seperti logam, bukan logam dan tekstil diadakan.
Perbincangan melibatkan artifak sejarah terutama yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan atau komposit. Kemungkinan berlaku kesan tidak diingini dan tidak sesuai pada bahan organik walaupun sesuai pada logam.
Proses yang dikenali sebagai Analisis Kondisi itu akan merekodkan setiap perincian yang terdapat pada artifak termasuk kerosakan yang ada.
Perkara yang diperhatikan pada artifak adalah bahan buatan, komposit dan jenis kerosakan seterusnya menjana idea untuk kerja pemuliharaan.
Tidak semua kerosakan perlu dibuang. Sebagai contoh, kesan karatan berwarna hijau hasil tindak balas pengoksidaan pada ukiran logam hulu kering perlu diteliti dahulu.
Jika ia dalam keadaan berdebu maka perlu dibuang kerana proses tindak balas masih lagi aktif, manakala bagi yang sudah mengeras, tidak perlu ditanggalkan kerana sudah stabil.
Tujuan pemuliharaan juga memainkan peranan pada tahap pembersihan dilakukan. Jika ia bagi tujuan pameran, artifak tidak perlu dibersihkan sepenuhnya kerana akan hilang nilai antik pada mata pengunjung.
Kemudian, ujian bintik (spot test) dilakukan bagi mengetahui dengan jelas bahan mentah dan teknik pemuliharaan yang tepat untuk digunakan.
Contoh ujian yang dijalankan ialah ujian bakar (burn test) iaitu dengan membakar sedikit pada bahagian hujung tekstil. Jenis bahan sebenar dapat diketahui dengan melihat gumpalan dan bau yang terhasil.

ARTIFAK lama perlu dipulihara untuk memastikan ia mampu kekal lama.


Menurut Ketua Penolong Pengarah Pusat Konservasi, JMM, Zamrul Amri Zakaria, 34, teknik konservasi perlu bersifat reversible (boleh dipatah balik).
“Ia bagi mengelakkan sebarang kerosakan lebih teruk kepada artifak selain teknologi konservasi sentiasa berkembang dan kaedahnya semakin baik,” katanya kepada Kosmo!
Sebagai contoh, bagi menampal pecahan seramik, perincian jenis gam yang digunakan perlu direkod dan ia boleh ditanggalkan semula.
Jika pada masa hadapan, terdapat konservator yang menemui kaedah yang lebih baik untuk memulihara sesuatu artifak, dia dapat menanggalkan semula kerja-kerja konservasi dibuat sebelum ini.
Konservasi terbahagi pada dua bahagian iaitu kuratif dan preventif. Kuratif adalah langkah merawat dan menyembuhkan sesuatu artifak.
Kata Zamrul, tempoh jangka hayat sesuatu artifak dapat dipanjangkan dengan melakukan kerja konservasi bergantung pada tahap kerosakan dan jenis rawatan yang diberikan.
Preventif pula adalah proses yang tidak perlu melalui kerja-kerja merawat sebaliknya langkah-langkah pemeliharaan dilakukan secara berterusan.
Banyak faktor yang perlu ditimbang dalam kerja-kerja preventif seperti tahap sensitiviti artifak pada suhu persekitaran, jumlah pencahayaan dan kelembapan.
Contohnya, langkah preventif yang dibuat untuk memelihara tekstil atau lukisan adalah dengan tidak membenarkan pengunjung merakam gambar artifak.
“Cahaya flash (denyar) yang dipancar pada kain memberi efek buruk kepada warna kain. Kilauan cahaya yang berterusan dalam satu tempoh panjang boleh menyebabkan tekstil berubah warna dan menjadi putih.
“Cahaya lampu sekeliling juga perlu malap dengan bacaan 50 lux ke bawah,” terang Konservator Bahagian Preventif, Hamidah Kusnan, 54, sekali gus menolak andaian lampu malap di muzium bertujuan untuk menaikkan mood pengunjung.
Penyelidikan dan kajian mengenai sejarah sesuatu barang juga diteliti. Konservasi artifak bukan hanya melibatkan kesesuaian sains, tetapi setiap konservator wajib mempunyai rasa cinta dan tanggungjawab terhadap sesuatu artifak.

No comments:

Post a Comment